Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk
‘La Tahzan’ telah menukilkan satu kisah tauladan yang cukup menggugat
jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi’. Muhammad bin Wasi’ terkenal sebagai
seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam
barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan
kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.
Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi’ di hadapan para
panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan
panglima-panglimanya, ‘Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi
hasil ghanimah [rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam. Adakah
kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada
seseorang maka dia akan menolaknya?’ Mereka menjawab: ‘Kami sama sekali
tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.’
Qutaibah berkata ; ‘Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat
Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian
semua.’
Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin
Wasi’ untuk menghadapnya. Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah,
lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad
bin Wasi’ terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah
tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya
berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah
memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin
Wasi’ selepas beliau keluar dari majlis itu.
Muhammad bin Wasi’ membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya
beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan
semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita ini dilaporkan oleh
pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi’ kepada
Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di
sekelilingnya; ‘Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih
ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan
tanah?’
Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut
kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan
hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang
yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah
dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan bertasbih kepada
Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi’ adalah contoh insan yang meletakkan
dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk
jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.
Nabi saw telah bersabda,’Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing
atau seorang musafir di dunia ini.’[Riwayat Bukhari dan Ahmad] Kita
mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran
yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang
sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita
kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk
mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak
kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita
adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.
Sumber: http://dakwah.org/blog/?p=226
No comments:
Post a Comment