Wednesday, 27 May 2020

Lafaz ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ yang terdapat dalam al-Quran


Berikut disenaraikan lafaz  ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ  yang terdapat dalam al-Quran;


1.      Dalam surah Al-Fatihah, ayat 2;

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir semesta alam”.


2.      Dalam surah al-An’am, ayat  45;

فَقُطِعَ دَابِرُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ۚ وَٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

“Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memmelihara dan mentadbir semesta alam”.


3.      Dalam surah Yunus, ayat 10;

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلاَمٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.


4.      Dalam surah al-Shaaffat, ayat 182;

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.


5.      Dalam surah al-Zumaar, ayat 75;

 وَتَرَى الْمَلَائِكَةَ حَافِّينَ مِنْ حَوْلِ الْعَرْشِ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ وَقِيلَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: "Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!"


6.      Dalam surah Ghafir, ayat 65;

هُوَ الْحَيُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Dia lah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Monday, 25 May 2020

Renungan terhadap beberapa Ayat Yas-alunaka (يَسْـَٔلُونَكَ)


Berikut disenaraikan beberapa ayat-ayat al-Quran yang dimulai dengan lafaz Yas-alunaka (يَسْـَٔلُونَكَ). Di mana dalam ayat-ayat tersebut, Allah memaklumkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda akan ditanya beberapa soalan tertentu oleh para sahabat  ataupun oleh orang-orang kafir. Setiap soalan tersebut dijawab oleh Nabi s.a.w berdasarkan wahyu Allah S.W.T. Semoga bermanfaat.


1)      Kepentingan hilal (anak bulan);                 

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ ۗ
"Mereka bertanya kepada engkau dari hal bulan sabit. Katakanlah: "Dia itu adalah waktu-waktu yang ditentukan untuk manusia dan (untuk) haji …..” [al-Baqarah: 189]


2)      Cara-Cara Membelanjakan Harta;

يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَآ أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۗ
وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

"Mereka akan bertanya kepada engkau. Apakah yang akan mereka belanjakan. Katakanlah; Apa yang akan kamu belanjakan dari kebajikan ialah kepada ibu bapa dan keluarga karib (terdekat) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan anak perjalanan. Dan apa saja yang kamu perbuat dari hal kebaikan maka sesungguhnya Allah adalah mengetahuinya". [al-Baqarah: 215]


3)      Berperang di bulan haram;

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفْرٌۢ بِهِۦ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِۦ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَٱلْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ ٱسْتَطَٰعُوا۟ ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُو۟لَٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ

"Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya". [al-Baqarah: 217] 


4)      Keburukan Arak dan judi dan Perkara perlu dinafkahkan;


  يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir" [al-Baqarah Ayat 219]


5)      Urusan anak Yatim

 فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْيَتَٰمَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ ۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ ٱلْمُفْسِدَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Tentang dunia dan akhirat. Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: "Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerusakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".. Quran Surat Al-Baqarah Ayat 220


6)      Mengenai Haid;

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ النِّسَاء فِي الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىَ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri". [al-Baqarah: 222]


7)      Makanan yang halal;

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللّهُ فَكُلُواْ مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُواْ اسْمَ اللّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya" [al-Ma'idah: 4]


8)      Mengenai peristiwa Hari Kiamat

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي لاَ يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلاَّ هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لاَ تَأْتِيكُمْ إِلاَّ بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللّهِ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Al-A’raf : 187


9)      Mengenai harta rampasan perang ;


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأَنفَالِ قُلِ الأَنفَالُ لِلّهِ وَالرَّسُولِ فَاتَّقُواْ اللّهَ وَأَصْلِحُواْ ذَاتَ بِيْنِكُمْ وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِين   

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".[al-Anfal: 1]


10)  Mengenai Ruh;

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيل
                                                                                                          
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
[Al-Israa’: 85]


11)  Kisah Zul Qarnaim
               
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْراً
إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَباً

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya"
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. [Al-Kahf: 83-84]



12)  Mengenai gunung
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنسِفُهَا رَبِّي نَسْفاً
فَيَذَرُهَا قَاعاً صَفْصَفاً
لَا تَرَى فِيهَا عِوَجاً وَلَا أَمْتاً

Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.
"Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".
Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi. [Thaha: 105-107]

  
13)  Mengenai Hari Kiamat

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا
فِيمَ أَنتَ مِن ذِكْرَاهَا
إِلَى رَبِّكَ مُنتَهَاهَا
إِنَّمَا أَنتَ مُنذِرُ مَن يَخْشَاهَا
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا

Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?"
Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.
Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. (al-Nazi’ah: 42-46)


Wednesday, 20 May 2020

Kepentingan Hilal (bulan Sabit)



يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِىَ مَوَٰقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلْحَجِّ ۗ

Terjemahannya: “Mereka bertanya kepada engkau dari hal bulan sabit. Katakanlah: "Dia itu adalah waktu-waktu yang ditentukan untuk manusia dan (untuk) haji …..” [al-Baqarah: 189]

Huraian:

Dalam beberapa riwayat ada disebutkan bahwa beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. datang bertanya kepada beliau tentang hilal, yaitu bulan sabit. Mereka bertanya; “Wahai Rasulullah, mengapakah bulan sabit itu terbit dan naik mula-mula sangat halusnya. Laksana benang, kemudian jadi bertambah besar dan lama-lama jadi penuh (purnama), kemudian surut lagi dan kurang lagi, sampai kecil pula sebagai keadaan semula; tidak tetap dam satu keadaan saja?

Maka untuk menjawab pertanyaan itu datanglah ayat ini.

Dapat dilihat di sini bahwa duduk pertanyaan lain, tetapi dijawab Nabi lain pula. Mereka menanyakan mengapa bulan begitu, bukan menanyakan apa faedah yang kita ambil dari keadaan bulan yang demikian. Ahli ilmu balaghah menyatakan bahwa jawaban Nabi s.a.w. ini sangatlah halusnya menurut ilmu balaghah. Sebab jawaban itu dipimpin dan dijuruskan kepada hasil yang berfaedah dan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Utusan Tuhan membimbing dan membawa petunjuk agama. Sebab tidak pantas atau tidak pada tempatnya  jika kepada Nabi ditanyakan apa sebab bulan itu mula-mula halus kecil laksana benang, lama-lama besar purnama, akhirnya kembali kecil dan halus lagi sebagai semula. Mengapa tidak tetap saja begitu.

Menjawab pertanyaan yang seperti itu bukanlah kewajiban Nabi. Nabi bukan ahli ilmu falak. Sebab itu beliau berikan jawaban yang sesuai dengan keawajiban  beliau sebagi Rasul, sehingga ke sanalah perhatian yang bertanya dibawa. Maka beliau katakan bahwasanya bulan terbit dengan keadaan yang sedemikian itu membawa hikmat yang sangat penting sekali bagi kita. Bualan sabit adalah untuk menentukan waktu bagi manusia. Dengan bulan yang demikian halnya, manusia sesama manusia dapat menentukan janji. Dengan bulan demikian manusia dapat menentukan iddah perempuan setelah bercerai. Dengan bulan demikian manusia dapat menentukan berapa purnama perempuan telah mengandung. Dan dengan dia dapat ditentukan waktu puasa, sampai kepada waktu hari raya dan mengeluarkan zakat sekali setahun, sampai kepada waktu mengerjakan haji.[1]




[1] Terjemahan dan huraian ayat oleh Almarhum Syeikh Prof. Dr. Abdul Malek bin Abdul Karim (HAMKA) yang dipetik dari kitab Tafsir al-Azhar.

Saturday, 23 July 2016

Kepentingan Tinta Dan Pena

Tafsir ayat 1, surah al-Qalam[1]

oleh HAMKA

Sesungguhnya di dalam kitab tafsir yang lama-lama banyaklah kita dapati penafsiran tentang ayat 1 ini, iaitu:



ن ۚ وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ
" Nun; Demi pena dan apa yang mereka tulis." (ayat 1).

Ada tafsir yang mengatakan bahwa Nun itu bukanlah semata-mata huruf nun lengkung bertitik satu di atas, iaitu huruf yang bermakhraj di pertemuan hujung lidah dengan hujung Iangit-langit dan dikeluarkan melalui hidung, yang dinamai juga huruf "sengau"; bukan itu saja.

Kata penafsir itu, Nun adalah nama sebangsa ikan besar di laut sebangsa ikan paus. Ikan itulah yang menelan Nabi Yunus ketika beliau meninggalkan negerinya karena kecewa melihat kekufuran kaumnya. Penafsiran ikan bemama Nun yang menelan Nabi Yunus ini dihubungkan dengan ayat-ayat terakhir dari Surat ini, yaitu ayat 48, 49, dan ayat 50. Karena ketiga ayat ini ada menceriterakan tentang Nabi Yunus ditelan ikan itu. Penafsiran ini dikuatkan oleh ayat 87 dari Surat (al-Anbiya' ) yang menyebut Nabi Yunus dengan ZanNun. Menurut ar-Razi dalam tafsimya, ada juga riwayat bahwa tafsir begini ada diterima dari lbnu Abbas, Mujahid, Muqatil dan as-Suddi.

Dan ada pula tafsiran lain mengatakan bahwa persumpahan dengan huruf Nun ini jauh lebih luas dari semata-mata ikan menelan Nabi Yunus. Menurut riwayat itu Nun adalah nama seekor ikan besar yang berdiam di lapisan bumi yang ketujuh, yang di bawah. Selanjutnya ada pula yang menafsirkan bahwa di atas ikan Nun itu ada dinding yang tebal, setelah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Di atas dinding, di pungung ikan itu berdirilah seekor sapi besar yang mempunyai 40,000 tanduk, dan di punggung sapi itu terletaklah bumi kita ini ketujuh petalanya. Ada pula tafsir lain mengatakan bahwa bumi terletak di salah satu ujung tanduk yang 40,000  itu.

Tetapi riwayat yang lain pula dari lbnu Abbas juga, diikuti penafsiran ini oleh ad-Dahhak, al-Hasan dan Qatadah; " Arti Nun ialah dakwat atau tinta "

Sengaja kita salin tafsiran-tafsiran ini untuk mengetahui mengapa sampai sekarang masih ada orang yang percaya bahwa bumi terletak di ujung tanduk lembu dan lembu berdiri di punggung ikan nun! Kalau terjadi gempa bumi, lalah kerana lembu itu menggerakkan kepalanya.

Tentang menafsirkan Huruf Nun dengan ikan Nun yang menelan Nabi Yunus, kalau kita fikirkan dengan saksama, tidaklah dapat diterima jika dibandingkan dengan ayat-ayat yang selanjutnya, yang isinya memuji kemuliaan budi Muhammad yang tahan dan sabar dalam perjuangan. Sudah terang bahwa Nabi Yunus ditelan oleh ikan Nun atau paus beberapa hari lamanya adalah suatu peringatan kepada seorang Nabi Allah bemama Yunus yang berkecil hati melihat kekafiran kaumnya, lalu beliau meninggalkan tugasnya itu. Tidaklah  layak permulaan peringatan kepada Nabi Muhammad ialah ikan Nun yang menelan Nabi Yunus, karena Nabi Muhammad tidaklah pernah sejenak pun meninggalkan, bahkan selalu menghadapi tugasnya dengan hati tabah, walaupun betapa hebat kepahitan yang akan beliau telan. Hijrah beliau ke Madinah kemudian, bukanlah lari dari tugas, tetapi salah satu mata rantai rencana penyempumaan tugas.

Dan tafsiran ikan Nun di bawah petala bumi ketujuh di atas ikan Nun berdiri sapi  besar bertanduk 40,000 dan di hujung salah satu tanduk itu terletak bumi, terang sekali bukan Hadis Nabi s.a.w. yang mempunyai sanad yang dapat dipegang. Ini adalah dongeng-dongeng lain bangsa yang menyelinap ke dalam tafsir dengan tidak ada penelitian.

Tentang Qalam, atau disebut juga pena, yang diambil menjadi sumpah utama oleh_Tuhan di permulaan ayat 1, ada pula terdapat berbagai ragam tafsir. Ada yang menyatakan bahwa yang mula-mula sekali diciptakan oleh Tuhan dari makhlukNya ini tidak lain ialah qalam atau pena. Disebutkan pula bahwa panjang qalam itu ialah sepanjang di antara langit dan bumi dan dia tercipta dari nur, artinya cahaya. Dalam tafsiran itu dikatakan bahwa Allah memerintahkan kepada qalam daripada Nur itu agar dia terus-menerus menulis  lalu dituliskannyalah apa yang terjadi dan apa yang ada ini, baik ajal atau amal perbuatan.

Ada pula yang menafsirkan bahwa yang dimaksudkan dengan yang mula-mula diciptakan Tuhan ialah qalam, artinya ialah akal. Tetapi oleh karena ada Hadis Nabi:

 "Yang mula-mula diciptakan Allah ialah qalam, lalu diperentahkan Allah supya ia menulis. Maka bertanyalah dia kepada Tuhan: “ Apa yang mesti dituliskan, ya Tuhan?" Tuhan menjawab:  "Tuliskan segala apa yang telah Aku takdirkan (Aku tentukan sampai akhir zaman)."
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dari Hadis al-Walid bin Ubbadah bin Tsamit)

Oleh karena ini menyangkut dengan Hadis, maka al-Qadhi memberikan tafsir bahwa isi Hadis ini adalah semata-mata Majaz, artinya kata perlambang. Sebab tidaklah mungkin sebuah alat yang telah digunakan khusus untuk menulis, bahwa dia akan hidup dan berakal, sampai dia mesti diperintah Tuhan dan dilarang. Mustahil dapat dikumpulkan jadi satu sebuah alat guna menulis lalu makhluk bemyawa yang dapat diperintah. Maka bukanlah qalam itu diperintah, melainkan berlakulah qudrat iradat Allah atas makhlukNya dan terjadilah apa yang Allah kehendaki dan Allah tentukan, dan tertulislah demikian itu sebagai takdir dari Allah.

Demikianlah sengaja agak panjang kita salin tafsir-tafsir lama untuk mengetahui ukuran orang berfikir pada masa dahulu. Tentang ujung ayat: "Dan apa yang mereka tulis" kata ar-Razi ada pula tafsir yang mengatakan bahwa yang dikatakan "mereka" di sini ialah malaikat-malaikat yang menuliskan segala amal perbuatan manusia. Sebab di dalam surat 82, al-lnfithar (Terbelah-belah), ayat 10, 11, dan 12 ada tersebut tentang malaikat-malaikat yang mulia-mulia yang ditugaskan Allah menuliskan amalan manusia dan memeliharanya. Malaikat-malaikat itu mengetahui apa saja yang dikerjakan oleh manusia di dunia ini. Maka kata tafsir itu yang dituju oleh ujung ayat ke satu Surat al-Qalam ini ialah malaikat-malaikat itu.

Tetapi karena semuanya itu adalah semata-mata penafsiran menurut kadar jangkauan akal orang yang menafsirkan, mengapa kita tidak akan berani memikirkannya lebih jauh dan mencocokkannya dengan kenyataan yang ada di hadapan mata kita sehari-hari? Adakah salah kalau kita tumpangi orang yang menafsirkan Huruf Nun itu dengan tinta dan qalam kita tafsirkan pula dengan pena yang kita pakai buat menulis? Dan sumpah dengan apa yang mereka tuliskan, ialah hasil dan buah pena ahli-ahli pengetahuan yang menyebarkan ilmu dengan tulisan? Alangkah pentingnya ketiga macam barang itu bagi kemanusiaan selama dunia terkembang! iaitu: Tinta, pena dan hasil apa yang dituliskan oleh para penulis?

Cobalah pertalikan ayat ini dengan ayat yang mula-mula turun kepada Rasulullah s.a.w. di dalam Gua Hira' di atas Bukit Nur (Cahaya). Perhatikanlah kelima ayat yang mula turun itu, iaitu awal permulaan dari Surat al-'Alaq:

Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang telah menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhan engkau adalah Amat Mulia Yang mengajarkan manusia dengan qolam. Mengajarkan kepada manusia barang yang (tadinya) tidak mereka ketahui” (al-'Alaq: 1-5)

Di antara Qalam dalam Surat al-'Alaq sebagai ayat yang mula-mula turun dan "Qalarn" di Surat ini, dan keduanya sama-sama turun di Makkah, memang ada pertalian yang patut menjadi perhatian kita. Keduanya menarik perhatian manusia tentang pentingnya qalam atau pena dalam hidup manusia di atas permukaan bumi ini. Dengan qalamlah ilmu pengetahuan dicatat. Bahkan kitab-kitab suci yang diturunkan Allah Ta'ala kepada Nabi-nabiNya; Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran dan berpuluh zabur-zabur yang diturunkan kepada Nabi-nabi sebagai tercatat di dalam kumpulan "Perjanjian Lama", barulah menjadi dokumentasi agama setelah semuanya itu dicatat. Kitab Suci al-Quran sendiri yang mulanya hanya sebagai hafalan dan tercatat terserak-serak dalam berbagai catatan barulah berarti untuk menjadi pegangan kaum Muslimin di permukaan bumi ini sudah 14 abad sampai sekarang setelah dia dijadikan satu Mushhaf; mulanya atas prakarsa dari khalifah Nabi yang pertama, Saiyidina Abu Bakar Shiddiq, setelah itu disalin ke dalam beberapa naskhah atas perintah Khalifah ketiga, Amirul Mu'minin Saiyidina Usman bin Affan.

Dengan tersebarnya al-Quran di permukaan Dunia lslam, tumbuhlah ilmu-ilmu agama yang lain: Tafsir al-Quran, Ilmu Hadis dengan Musthalah dan Sanadnya, Ilmu Fiqh dan Ilmu Ushul Fiqh, Ilmu Aqaid (Ushuluddin), llmu Tashawuf, Ilmu Qiraat, Ilmu Sirah, Ilmu Tarikh, Ilmu Alat Bahasa: Nahu, Saraf, Bayaan dan Badi' dan Ma'ani, Ilmu Adab dan berpuluh ilmu lain. Semuanya itu dikembangkan dengan Nun, Wal Qalqmi Wa Mo Yasthurun. Dengan tinta, pena dan apa yang mereka tuliskan di atas kertas berbagai ragam, sejak 14 abad!.

Tersebutlah dalam sejarah bahwa seketika bangsa Mongol dan Tartar menyerbu kota Baghdad pusat kebudayaan Islam selama lima abad, mereka dapatilah negeri yang kaya dengan bekas qalarn. Beribu-ribu jilid kitab ilmu pengetahuan. baik di dalam mesjid-mesjid, atau di rumah-rumah orang berilmu, atau di rumah orang-orang yang mempunyai kesukaan menyimpan kitabkitab berharga. Oleh karena mereka belum tahu nilai ilmu yang demikian tinggi, mereka lemparkanlah kitab-kitab itu ke dalam sungai Dajlah, maka menghitamlah aliran sungai beberapa lamanya dari bekas tinta kitab-kitab yang mengambang.

Tersebutlah perkataan bahwa setelah kedaulatan kaum Muslimin dipatahkan di tanah Andalusia (Spanyol) di penghujung abad kelima belas Masehi, dan setelah datang raja-rajh Kristen yang sangat fanatik, dengan fatwa dari pendeta-pendeta gereja Katholik yang sangat fanatik pula dibakarlah kitab-kitab pusaka peradaban kaum Muslimin yang tertinggal itu. Dibongkar dari mana-mana, dikeluarkan dari dalam mesjid-mesjid yang telah ditukar jadi gereja, atau dari rumah orang-orang Islam yang mempusakainya dari nenek-moyang yang telah lama meninggal; semuanya dibakar, dijadikan unggunan di muka kurungun gereja-gereja. Bertahun-tahun lamanya pekerjaan itu dikerjakan, namun kitab-kiiab itu tidak juga kunjung habis. 

Kemudian setelah beberapa tahun di belakang, bertukarlah cara berfikir. Diperlukan mencari "kekayaan" itu kembali, untuk dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Karena di Spanyol sendiri telah bangkit ahli-ahli ilmu pengetahuan. Barulah dalam abad kesembilan belas usaha itu dilakukan. Kalau-kalau ada kitab-kitab sisa yang tidak sampai terbakar. Untunglah masih bertemu sisa-sia yang tinggal. Lalu semuanya dikumpulkan di dalam musium "Escorial" yang terkenal di Madrid.

Untuk melihat-lihat sisa-sisa yang tidak sampai terbakar itu saja, jika kita masuk melihat-lihat ke dalam gedung Escorial, niscaya akan memakan waktu berjam-jam juga.

Di tiap-tiap Bibliothek besar di negeri-negeri terkenal di Eropa orang masih dapat melihat kitab-kitab tulisan tangan (manuscript) pusaka Islam. Di Leiden, Zurich, Bonn, Sarbonn, Weenen, London. Di Princenton Amerika Serikat dan berpuluh tempat yang lain, adalah menjadi kemegahan bagi sarjana-sarjana, terutama kaum orientalis, jika negara mereka ada menyimpan kitab tulisan tangan pusaka Islam itu. Itu barulah satu sudut dari kemajuan "tinta, pena dan tulisan". Sebab Islam adalah satu sudut yang tidak dapat dimungkiri daripada tamaddun manusia di dunia ini. Apatah lagi kalau kita kaji, selidiki dan renungi perkembangan bekas tinta dan pena, nun dan qalam dan bekas tulisan mereka yang menulis. Kita bertemu dengan huruf; Huruf Hyroglyp, Huruf Paku, Huruf Kanji, Huruf Latin, Huruf Arab dan berbagai huruf yang lain. Semuanya menuliskan bekas ingatan manusia yang penting-penting. 

Cobalah bayangkan berapa kertas yang telah dipakai, berapa pena yang telah diruncingkan dan berapa tinta yang telah mengalir. Dan kemudiannya pena itu, yang di negeri kita Indonesia ini terasal daripada segar pohon aren, atau rotan halus, atau dari keratan bambu, atau dari gagang paku ransam, ataupun daripada pangkal bulu burung. Kemudian baru berobah menjadi pena dari emas, atau perak, sampai timbul pensil atau ballpen dan sebagainya. Kemudian itu terbukalah fikiran manusia kepada alat percetakan sehingga sudah lebih mudah mencetak buku-buku yang tebal-tebal dan tidak sukar lagi menyebarkan karangan seorang pengarang. Satu buku yang ditulis oleh seorang penulis dengan qalamnya dapat diperbanyak dicetak 1000, kemudian 100,000 dan kemudian berjuta-juta dan tersebar di seluruh dunia.

Alat cetak-mencetak itu pun bertambah maju luar biasa, sehingga di zaman tafsir ini ditulis penulisan qalam moden ialah dengan alat komputer, offset yang dalam satu jam dapat mencetak 50,000 lembar majalah.

      1.      Maka terjadilah perlombaan atau berpacu perahu di sungai Musi Palembang, kira-kira 50 tahun yang lalu. Ada sebuah perahu yang lebih banyak menang daripada kalah, kepunyaan perkumpulan pemuda pada sebuah kampong. Kemudian diketahui bahwa perahu yang kerapkali menang itu ada menyimpan sekeping tembaga bersurat huruf lama, yang orang awam tidak mengerti apa arti tulisan itu. Setelah diselidiki oleh para ahli ternyatalah bahwa isi kepingan tembaga itu ialah suatu catatan tentang kedatangan nenek-moyang dari Minangatamwan dengan tenteranya yang besar, masuk ke dalam negeri baru. Nama nenek-moyang itu ialah Dapunta Hiyang.

Diselidiki dengan seksama oleh ahli persuratan, maka dapatlah diambil kesimpulan bahwa isi ini amat penting. Ini adalah salah satu bekas sejarah tentang kerajaan lama yang telah punah dalam abad sekian, kurun sekian di Pulau Sumatera. Sampai menjadi buah penyelidikan di mana gerangan Minangatamwan itu. Kata setelah ahli ialah Minangkabau. Tanah pertemuan di antara dua sungai, yaitu Kampar Kiri dan Kampar Kanan. Dengan penyelidikan demikian orang hendak mencari tapak Sriwijaya. Mereka ambil kesimpulan bahwa di situlah letak Muara Takus. Dan memang Muara Takus terletak di Kampar!

Kemudian datang penyelidikan membantah teori itu dan mengatakan bahwa Minangatamwan itu adalah nama sebuah sungai dalam negeri Palembang sendiri, di Selatan Sumatera. Dengan berbagai alasan pula, untuk tidak membiarkan Sriwijaya itu "dibawa" ke Sumatera Bagian Tengah.

      2.      Bertemulah sebuah batu picak (pipih) tempat membasuh kaki ketika akan naik ke dalam surau di satu desa sunyi di Terengganu. Setelah ditilik-tilik, rupanya batu landasan pencuci kaki itu ada tulisan. Diperhatikan dengan seksama, tulisan itu adalah huruf Arab, cuma saja tidak ada titik pada huruf yang mestinya bertitik. Diperhatikan pula dengan seksama, temyata bahwa bahasa yang ditulis dengan huruf Arab itu ialah Bahasa Melayu. Lalu dimintalah para ahli dari Universitas di London sendiri mengadakan penyelidikan kepada batu itu, sampai batu itu digambar, difoto dan dikonferensikan oleh ahli-ahli. Ternyata bahwa memang huruf itu huruf Arab dan bahasa yang dituliskan dengan huruf Arab itu ialah bahasa Melayu. Dan satu hal yang amat penting bertemu dalam batu itu ialah zaman batu itu ditulis. Batu itu telah sumbing, ada bahagian yang terlepas karena berlama masa. Bertemulah tahun hijrah tujuh ratus dua. Tetapi ujung kalimat dua itu ada yang pecah. Sehingga tidak dapat ditetapkan apakah 702 saja, atau721, 723, 724 sampai 729 atau tujuh ratus dua belas, atau tujuh ratus dua delapan. Meskipun demikian, batu itu telah dapat menjadi saksi yang nyata bahwa pada awal abad kedelapan hijriyah telah ada kekuasaan Islam yang besar di Tanah Melayu, khususnya di Terengganu. Sebab yang dituliskan pada batu itu ialah beberapa peraturan Hukum Pidana Islam. Dan awal abad kedelapan hijriyah bertepatan dengan permulaan abad keempat belas Masehi (1300 lebih). Dengan demikian dapatlah pencatat sejarah memperbaiki catatan selama ini yang memulai sejarah kerajaan Islam yang teratur di Semenanjung Tanah Melayu ialah di awal abad kelima belas, yaitu kerajaan Islam Melaka yang dimulai catatannya sekitar tahun 1400. Dengan Batu Bersurat Terengganu itu, sejarah Islam berkuasa di Semenanjung telah dinaikkan 100 tahun  dari catatan semula.

Banyaklah bertemu catatan demikian, bekas dari qalam dan apa yang dituliskan oleh orang yang ahli menulis. Baik qalam itu berupa sagar dari pohon kayu ijuk (aren) atau dari ujung rotan, atau gagang paku ransam, atau_ pun belahan buluh, atau pahat halus kecil sebagai kepingan tembaga Kadukan Bukit di Palembang itu. Ataupun dari tulisan-tulisan ditonggak-tonggak batu tua di Luxor, di Abusimbel, di Pyramida dan lain-lain di Kairo Mesir dan di mana saja di bagian dunia ini. Semuanya telah memperkuat tafsir dari ayat 1 Surat al-Qalam: “ Nun; Demi Qalam dan apa-apa yang mereka tuliskan

Sehingga bekas-bekas itu pun telah mempertemukan kita yang datang di belakang ini dengan nenek-moyang manusia yang hidup ribuan tahun masa lampau. Semuanya ini memberi kesan kepada kita bagaimana kebesaran dan mu'jizat yang diberikan Allah kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Pada ayat yang mula turun di Gua Hira', kata yang mula sekali ialah IQRA’, artinya, menyuruh baca. Kalau hanya dipandang sepintas lalu niscaya akan kita katakan bahwa wahyu ini dan perintah ini datang kepada Nabi Muhammad s.a.w sendiri, padahal beliau ummi, tidak tahu membaca. Dan itu pun diakuinya sendiri: “ Maa ana biqari ”, “ Saya tidak pandai membaca ”. Tetapi setelah kita renungkan lebih mendalam nampaklah bahwa maksudnya jauh lebih dalam dari itu, yaitu menerangkan bagaimana pentingnya membaca untuk ummat yang beragarna. Dan di ayat keempat datang wahyu menerangkan bahwa Tuhan mengajar dengan qalam. Dengan qalam manusia diberitahu barang yang tadinya mereka tidak tahu. Dan kemudian itu, di surat 68 ini, Surat al-Qalam ini sudah diambil menjadi sumpah betapa penting artinya qalam, betapa pentingnya tinta yang dituliskan oleh qalam dan diiringkan lagi dengan sumpah betapa pentingnya apa yang mereka gariskan dengan qalam itu, yaitu ilmu. Padahal Nabi kita Muhammad s.a.w. bukan seorang yang pandai menulis dan membaca dan bukan beliau pengarang buku.


[1] Disalin dari kitab Tafsir Al-Azhar, karya Al-Marhum Prof. Dr Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (HAMKA); Surah al-Qalam: ayat 1.